BUKIT GANTANG, 4 Mei  —  PENGUNDI….. Jentera Barisan Nasional (BN) diminta tidak mengetepikan pengundi atas pagar sebaliknya menggunakan pendekatan yang betul untuk menambat hati mereka supaya menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jentera tersebut perlu mendekati dan menambat hati golongan itu dan bukan prejudis atau prasangka terhadap mereka yang selama ini memandang serong kepada BN.

“Jangan ketepikan sama ada mereka yang menyokong atau tidak setiap undi adalah penting sama ada mereka itu kelabu putih atau kelabu hitam.

“Walaupun mereka dahulu telah melakukan kesilapan dengan mengundi pihak lain, tetapi kali ini kalau kita menggunakan pendekatan betul saya yakin mereka akan beralih dan berpatah ke pangkal jalan untuk bersama-sama dengan kita,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra pemimpin bersama rakyat malam tadi.

Turut hadir calon Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, calon DUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan calon DUN Trong, Jamilah Zakaria.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin BN mampu menawan semula Parlimen Bukit Gantang pada PRU kali ini kerana pada PRU13, BN hanya kekurangan sebanyak 986 undi.

Pada PRU13, kerusi tersebut dimenangi oleh calon PAS, Idris Ahmad yang mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 986 undi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ,yang juga pengerusi BN ,telah pilih Syed Abu Hussin Hafiz sebagai calon dan disokong semua parti komponen, Menteri Besar ,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta semua kawan, kali ini menang (BN) di Parlimen Bukit Gantang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi Bukit Gantang agar memberi sokongan kepada semua calon BN supaya parti itu dapat mempertahankan DUN Trong dan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang serta DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Beliau juga mahu semua calon BN di kawasan berkenaan agar menyelesaikan masalah rakyat sekiranya diberi mandat kali ini kerana kawasan itu perlu kemajuan memandangkan ia bersebelahan dengan Taiping.

Katanya, beberapa masalah di kawasan itu antaranya pemilikan tanah di Kampung Seberang Kedah, Kuala Sepetang, gelanggang sukan, padang bola dan mini kompleks sukan di Kampung Matang Gelugor akan diselesaikan.

Ahmad Zahid turut berjanji akan membawa pelabur luar ke Bukit Gantang dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada semua kaum. – WD MY