JENTERA BN KINI HARUS BERSEMANGAT DAN BERSATU:MOHAMAD HASAN

JENTERA BN KINI HARUS BERSEMANGAT DAN BERSATU:MOHAMAD HASAN

605
0

SHAH ALAM. JULAI 24: BERSEMANGAT….Jentera Barisan Nasional (BN) perlu mengetepikan semua sentimen negatif selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebaliknya mahu semua jentera parti kembali bersemangat serta bersatu selain bergerak dengan pendekatan lebih agresif untuk merampas semula pentadbiran negara dan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini merupakan medan permulaan kepada BN untuk melatih diri serta bersiap sedia untuk merealisasikan kejayaan pada masa depan.

“Kita tidak lagi menjadi kerajaan pada hari ini. Jika sebelum ini Pakatan Harapan menuduh kita tidak berbuat apa-apa mengenai isu kos sara hidup, isu Felda dan pengurusan syarikat milik kerajaan (GLC), hari ini isu berkenaan telah terpalit kepada mereka. Kita kena pandai bawa isu-isu ini supaya rakyat sedar dan faham,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengenalan Calon PRK DUN Sungai Kandis serta Penyerahan Anak Angkat BN Bahagian-Bahagian Selangor di Kampung Sungai Kandis,malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan serta calon BN PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Pada masa sama, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN dalam PRK DUN Sungai Kandis turut memberi contoh kelemahan dasar pentadbiran Pakatan Harapan yang mungkin meletakkan ekonomi negara dalam keadaan bermasalah apabila industri pembinaan difahamkan berhadapan dengan kos kenaikan harga simen termasuklah sentimen  syarikat-syarikat pemaju yang tidak berminat meneruskan projek-projek pembangunan.

Sementara itu, Ismail semasa berucap dalam majlis itu menegaskan, BN akan melaksanakan pendekatan kempen yang berbeza dalam PRK di kawasan DUN itu dengan mengeluarkan fakta mengenai kepincangan dasar kerajaan Pakatan Harapan menerusi media-media sosial setiap hari.

“Jika dahulu kita adakan program kenduri-kendara dan ceramah besar-besaran. Kali ini kita tidak lagi tumpu perkara itu lagi sebaliknya lebih kepada perang media sosial menerusi infografik yang disebarkan kepada kira-kira 32,000 pengundi.

“Kita akan mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada rakyat mengenai isu-isu dalam pentadbiran Pakatan Harapan seperti harga ikan tidak turun, polisi pemakaian kasut hitam pelajar sekolah yang tidak ada kaitan dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan serta janji-janji yang belum ditunaikan,” ujarnya yang turut merancang mengadakan program bersama seperti forum perdana dengan para pemimpin BN dan Pas.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan ramai rakyat ketika ini menyatakan rasa kecewa dengan sikap pentadbiran negara yang dilihat cuba mengelak daripada melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu.-MY WD