KOTA KINABALU, 16 Dis – MANFAAT….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial bagi mendekati golongan muda serta pengundi baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO itu berkata, perangkaan menunjukkan 92 peratus daripada rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 29 tahun amat aktif dalam penggunaan media sosial.

“Kita perlu mendekati mereka yang juga pengundi muda atau kali pertama. Oleh itu Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk membantu UMNO dan BN kerana kita tidak boleh lari daripada penggunaan media sosial.

“Pedang bukan lagi senjata yang tajam untuk berperang kerana senjata tajam sekarang hanya di hujung jari,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO di Bangunan UMNO Sabah hari ini.

Ahmad Zahid berkata BN perlu mengambil pengajaran daripada pilihan raya lalu apabila tentera siber BN tewas dengan pasukan siber parti pembangkang.

“Kita juga perlu ingat serangan pada saat akhir pada PRU-13 lalu apabila mereka katakan ketika pengiraan undi, seluruh tenaga elektrik dipadamkan untuk BN melakukan penipuan.

“Fitnah dan tohmahan menerusi media sosial itu serta kaedah serangan pada saat akhir secara berulang-ulang menyebabkan pengundi baharu khususnya pengundi atas pagar terpengaruh,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Biro IT UMNO kini tidak boleh lagi ‘babau’ (dialek tempatan Sabah) atau bisu dalam menangkis segala tohmahan dan fitnah.

“Biro IT UMNO mempunyai peranan yang amat penting dan berperanan sebagai askar dan hulubalang kepada tentera siber BN dalam menangkis dakwaan tidak benar yang dilemparkan pada parti.

“Ini termasuk menggunakan semua media sosial bagi menyampai atau menjelaskan isu kepada pengundi. Pengalaman sebelum ini, cerita kecil termasuk berita palsu yang tidak ditangani menjadi isu besar hingga menjejaskan BN.

“Walaupun berita palsu, pernah pada PRU-13, (cerita kecil) menjadi tsunami. Ia penangan media sosial yang kita kalah dan ‘babau’ (bisu) pada PRU-13.

“Disebabkan ‘kebabauan’ itu, kita hampir tersungkur,” katanya. – WD MY