KUCHING, 15 Sept – Jadual perjalanan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk ke Sematan di Lundu, 107km dari sini menggunakan
helikopter terpaksa diubah menggunakan kereta akibat jerebu.

Menurut pegawai di Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat (UPAK),
Jabatan Ketua Menteri Sarawak, keadaan berjerebu tidak sesuai untuk sebarang
perjalanan menggunakan helikopter.

Perdana Menteri dijadual ke Sematan bagi menghadiri majlis pelancaran
memulakan kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Telok
Melano-Sematan.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah
Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 2.20 petang.
Turut serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ketibaan perdana menteri dan isteri disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Tan
Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri Puan Sri Empiang Jabu, Setiausaha
Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin, wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional
Sarawak, ketua-ketua masyarakat serta ketua-ketua kaum di negeri ini.

Perdana Menteri kemudiannya bergerak ke Sematan menggunakan kereta dan
perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira sejam tiga puluh minit.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY