IPOH, 20 Okt – Tiga penerbangan keluar di Lapangan Terbang Sultan
Azlan Shah (LTSAS) di sini dibatalkan berikutan jarak ketampakan yang rendah
akibat jerebu hari ini.

Pengurus Lapangan Terbang LTSAS, Mohd Ali Osman juga berkata dua penerbangan
yang sepatutnya mendarat di LTSAS dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul
Aziz Shah, Subang manakala penerbangan Firefly dari Singapura ke sini
dibatalkan.

Beliau berkata penerbangan keluar yang dibatalkan itu membabitkan dua
pesawat Fire Fly, masing-masing ke Singapura pada pukul 11.35 pagi dan Johor
Baharu pukul 12.05 tengah hari serta Malindo Air ke Singapura pukul 12.20 tengah
hari.

Mohd Ali berkata tiga penerbangan itu terpaksa dibatalkan susulan jarak
ketampakan hanya 1,000 meter pada pukul 12 tengah hari dan 1,200 meter pada 1
tengah hari.

“Penerbangan Fire Fly FY3543 ke Singapura membabitkan 37 penumpang,
penerbangan FY2253 pula 52 orang manakala Malindo Air OD821 seramai 126
penumpang.

“Semua penumpang telah dimaklumkan lebih awal berhubung pembatalan itu,”
katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan Fire Fly menyediakan bas untuk membawa
penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala Malindo
Air membuat bayaran balik kepada penumpang.

Sementara itu, Mohd Ali berkata dua penerbangan yang dilencongkan ke Subang
ialah Malindo Air OD820 dan Fire Fly FY2252 yang sepatutnya tiba di LTSAS pada
11.25 pagi.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata penerbangan Fire Fly yang sepatutnya
bertolak dari Singapura dan tiba di LTSAS pukul 11.15 turut dibatalkan. – Sofea Nawar(WD MY)

LEAVE A REPLY