KUALA LUMPUR, 21 Jan – LANCAR…. Juara Liga Perdana 2017, Kuala Lumpur hari ini melancarkan rekaan jersi terbaharu yang bakal digunakan pasukan itu pada saingan Liga Super musim 2018 yang akan bermula awal Februari.

Majlis pelancaran yang dirasmikan Penaung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri ratusan penyokong setia skuad ‘The City Boys’ ialah Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Turut diadakan pada majlis tersebut ialah sesi memperkenal barisan pemain dan staf kejurulatihan skuad Kuala Lumpur.

Jersi terbaharu yang menampilkan Skyhawk sebagai penaja rasmi bagi kit pasukan itu mempunyai tiga warna simbolik iaitu merah-putih sebagai kit tuan rumah, diikuti biru-putih (kit pelawat) dan warna ungu bagi kit ketiga.

 

Penyokong boleh mendapatkan rekaan jersi baharu itu pada harga RM90 sehelai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang menjadi gelanggang rasmi skuad Kuala Lumpur pada saingan musim ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai potensi pasukan Kuala Lumpur pada saingan Liga Super musim ini, Tengku Adnan percaya skuad kendalian Fabio Joaquim Maciel da Silva itu mampu memberikan saingan, sekali gus menamatkan kempen musim ini dengan keputusan positif.

“Saya percaya dengan kepimpinan yang ada hari ini, mereka akan capai matlamat yang mereka ingin capai iaitu menjadi lima pasukan terbaik pada penghujung musim,” katanya. – WD MY