BANDA ACEH, 20 MEI – SELAMAT….. Tujuh jet pejuang tentera laut Perancis melakukan pendaratan cemas di wilayah paling utara Indonesia ekoran cuaca buruk, menurut pegawai tentera udara, hari ini.

Semua pesawat Dassault Rafale itu berjaya mendarat dengan selamat di wilayah Aceh di wilayah paling utara Sumatera, semalam, selepas mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan.

Difahamkan, pesawat terbabit berlepas dari kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle di Lautan Hindi kira-kira 100 batu nautika di barat zon ekonomi ekslusif Sumatera, kata ketua pangkalan udara Aceh, Hendro Arief.

Semua pesawat itu dihalakan ke pangkalan udara terdekat iaitu pangkalan udara Sultan Iskandar Muda di Aceh Besar. – WD MY