ALOR SETAR, OKTOBER 30: JETI RUNTUH…Seramai 12 pelajar  Universiti Malaysia Kelantan (UMK) termasuk seorang mangsa parah dalam kejadian runtuhan jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi, petang semalam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malasia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.53 tengah hari, jeti yang digunakan pelancong untuk meninjau keindahan pulau itu dilaporkan runtuh.

“Sejurus panggilan itu, lapan anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Pulau Anak Tikus letaknya kira-kira lima batu nautika dari Jeti Kilim iaitu tempat pasukan bomba menerima mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Zamani berkata, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Jeti Kilim oleh agensi penyelamat dan bot pelancong.

“Keseluruhan mangsa  membabitkan 40 yang terdiri daripada lima pensyarah (tiga lelaki, dua perempuan) dan pelajar  (11 lelaki dan 24 perempuan) berusia antara 20 hingga 25 tahun.

“Bagaimanapun, 11 mangsa dilaporkan cedera dan seorang parah dihantar ke Jeti Kilim untuk menerima rawatan awal dan digegaskan ke Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-MY WD