KUALA LUMPUR,OGOS 19:JATUH…JATUH.. UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik, menyifatkan Jho Low sebagai seorang Perancang Terkotor Global atas “jasa-jasanya” yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah tamadun dunia.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu turut menyalahkan ahli perniagaan dalam buruan itu sebagai punca kejatuhan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Jho Low telah meranapkan kerjaya seorang Perdana Menteri yang amat popular dan menamatkan kuasa politik BN dan UMNO yang pernah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun.

“Dia turut memusnahkan reputasi Malaysia dengan gelaran ‘negara super rasuah’ di kacamata masyarakat antarabangsa,” katanya dalam catatan di Facebook peribadinya.

Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) berkata, beliau pernah menggesa kerajaan segera mengheret Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, ke muka pengadilan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sejak Ogos 2016 lagi saya telah meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail, bertindak segera mengheret Jho Low ke muka pengadilan

“Mungkin jika tindakan diambil ketika itu, banyak masalah 1MDB boleh diselesaikan secara unjuk-anjak (bertolak ansur),” katanya.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebelum ini menggelar skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terbesar di dunia dan badan perundangan negara lain seperti Switzerland dan Singapura sudah mengambil tindakan terhadap bank dan individu berkaitan.