SERDANG, 16 Okt – Tidak Perlu Bergantung Pada Kerajaan….. Datuk Seri Najib Razak mahu kepemimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) keluar daripada ruang lingkup konvensional serta tradisional dalam usaha memacu ekonomi digital.

Perdana Menteri berkata, JKKK di seluruh negara sewajarnya tampil dengan inisiatif yang lebih berdaya saing, selari perkembangan semasa bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada ledakan pembangunan.

Sehubungan itu, katanya, sikap ‘meminta projek’ yang menjadi amalan JKKK setiap kali wakil rakyat atau menteri turun kawasan perlu diubah.

“Kita nak JKKK memainkan peranan untuk perluaskan digital ekonomi Malaysia kerana pasaran e-dagang ini begitu luas sehingga berupaya melonjak taraf pendapatan masyarakat luar bandar.

“JKKK yang mempunyai usaha inovatif akan cuba mengoptimumkan peluang yang terbentang di depan mereka berbanding hanya meminta projek setiap kali menteri atau wakil rakyat turun padang.

“Myfarm Outlet umpamanya, menyediakan peluang kepada masyarakat luar bandar memasarkan hasil pertanian dan penternakan di kawasan bandar, sekali gus melonjak taraf pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama sempena Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, sebentar tadi.

ADS1M yang dianjurkan setiap tahun menyaksikan Kampung Parit Tengah, Muar, Johor dinobat sebagai juara kategori Kampung Tradisional, sekali gus membawa pulang RM50,000 dan hadiah projek bernilai RM650,000.

Naib juara disandang Kampung Telisai, Lahad Datu, Sabah, yang menerima wang tunai RM50,000 dan hadiah projek bernilai RM250,000.

Tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM50,000 dan hadiah projek bernilai RM100,000 diraih Kampung Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan.

ADS1M 2016 untuk menilai pencapaian tahun lalu disertai 581 kampung, merangkumi 483 kampung tradisional, kampung Orang Asli (enam), rumah panjang (20) dan kampung baharu Cina (72). – WD MY

INFO

Kategori Rumah Panjang

Juara: Rumah Bihai, Mukah, Sarawak

Naib juara: Rumah Pasang, Kapit, Sarawak

Ketiga: Rumah Margeretta, Sarikei, Sarawak

Kategori Kampung Orang Asli

Juara: Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang, Selangor

Naib juara: Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka

Ketiga: Kampung Orang Asli Segamat Kechil, Segamat, Johor

Kategori Kampung Baru Cina

Juara: Kampung Baru Kangkar Bahru, Batu Pahat, Johor

Naib juara: Kampung Baru Kopisan Baru, Kampar, Perak

Ketiga: Kampung Baru Batu Lima, Dungun, Terengganu