SUNGAI PETANI, 17 MAC – TUTUP…. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah terpaksa mengarahkan sebuah pusat jagaan anak yatim ditutup selepas mendapati ia tidak berdaftar dan melanggar peraturan.

Pengarahnya, Azmi Abd Karim, berkata pihaknya mengeluarkan notis kepada pusat jagaan yang dikatakan menempatkan seramai 211 anak yatim miskin itu minggu lalu, berikutan tidak mempunyai sijil akuan yang sah mengikut Akta Pusat Penjagaan 1993.

“Kita sudah berbincang dengan pihak pengurusan pusat jagaan itu dan meminta mereka mendaftar, bagaimanapun beberapa dokumen penting iaitu kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum kita terima.

“Tindakan mengarahkan pusat jagaan ini ditutup adalah bagi menjamin kebajikan anak-anak di bawah jagaan mereka ,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, pusat jagaan itu diberi masa sehingga 18 Mac ini untuk mengosongkan asrama dengan menempatkan semula penghuni ke tempat lain.

Sebelum ini, tular video rakaman penghuni sebuah pusat jagaan anak yatim diarah berpindah oleh pihak berkuasa, namun tidak dinyatakan puncanya.

Azmi berkata, pihaknya sudah meminta pengurusan pusat jagaan itu memulangkan semula anak-anak yang majoritinya masih mempunyai ibu bapa kepada keluarga masing-masing.

“Hanya ada sejumlah kecil sahaja kita dapati adalah anak yatim piatu, JKM akan ambil anak-anak ini sekiranya mereka benar-benar tidak mempunyai ahli keluarga lain,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya juga pernah membantu menghantar beberapa anak-anak di pusat jagaan itu untuk bersekolah selepas mendapati kesemua anak-anak di situ tidak mendapat pendidikan formal.

“Sebelum ini mereka hanya belajar di pusat penjagaan itu mengikut kurikulum mereka sendiri, jadi pada 2017 kita sudah menghantar anak-anak di peringkat sekolah rendah untuk bersekolah.

“Bagaimanapun, anak-anak berusia 12 tahun ke atas hanya belajar apa yang disediakan di pusat jagaan itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga pusat jagaan ketika dihubungi mendakwa mereka terpaksa mencari rumah sewa untuk menempatkan semua anak-anak di rumah jagaan itu.

“Kami tidak tahu ke mana untuk kami tuju disebabkan notis untuk mengosongkan rumah jagaan ini terlalu singkat dan kami perlu keluar selewat-lewatnya Isnin depan.

“Kami terpaksa menyewa rumah untuk menempatkan anak-anak jagaan kami atas bantuan dan sumbangan orang ramai,” katanya. – WD MY