KUALA KRAI, 16 Mei – Serah Rumah Milik Kekal…..Kementerian Kerja Raya sudah menyiapkan 563 rumah mangsa banjir membabitkan empat daerah di Kelantan sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sebanyak 349 rumah di Kuala Krai masih dalam pembinaan dengan 88 rumah dibiayai serta dibina oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, baki sebanyak 54 rumah masih dalam urusan mendapatkan tapak oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kerajaan negeri.

“Berikutan banjir teruk pada Disember 2014, Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertanggungjawab membina sebanyak 966 rumah di Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.

“Alhamdulillah kita sudah berjaya menyiapkan sebahagian besar rumah mangsa banjir berkenaan dengan sebahagian lagi dalam proses pembinaan.

“Kita menyasarkan rumah yang dalam pembinaan akan disiapkan sebelum 30 Jun ini bagi membolehkan penduduk menyambut Aidilfitri di rumah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Baharu sempena lawatan kerja di Kampung Karangan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Fadillah turut melawat jambatan sementara di Kampung Pemberian selain lawatan tapak projek rumah kekal baharu di Kampung Telekong.

Pada masa sama, Fadillah berkata, pihaknya memperuntukkan RM30 juta bagi membina jambatan baharu Kampung Pemberian yang akan dilaksanakan bermula Ogos ini.

Katanya, reka bentuk jambatan sudah siap dibuat dan kini dalam proses mengeluarkan tender sebelum projek dilakukan. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY