JOHOR BAHRU, 16 Mei – Beri Pulangan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata persefahaman antara kerajaan Johor dengan kerajaan Persekutuan, berjaya memberikan pulangan serta kesejahteraan kepada rakyat.

Ahmad Zahid berkata, Johor juga didukung oleh kekukuhan pentadbiran kerajaan negeri, ahli politik dan rakyatnya.

Beliau berkata, ia berdasarkan perangkaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menunjukkan Johor berada di tangga teratas di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan pelaburan RM31.1 bilion dalam sektor pengilangan.

Katanya, perangkaan itu merangkumi kira-kira 41.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

“Mana mungkin tanpa Sultan yang sangat prihatin dan kepimpinan Menteri Besarnya mampu mencapai ini.

“MIDA juga melaporkan 81.4 peratus projek pengilangan di Johor bernilai RM78.8 bilion berjaya dilaksanakan hasil kerjasama rapat antara agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kemudahan Awam Ibrahim International Business District (IIBD) di Persada Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, sumber dalam negara menyumbang 63 peratus atau 33.9 bilion daripada pelaburan itu, manakala selebihnya ia membantu mewujudkan hampir 88,000 pekerjaan di negeri ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga mengumumkan pemberian Dana Mudahcara bernilai RM250 juta bagi membiayai pembangunan infrastruktur awam Johor Bahru.

Katanya, dana itu bagi memastikan Pelan Bersepadu Infrastruktur dari Pelan Induk IIBD dapat dilaksanakan. – WD MY