JOHOR BAHRU, 3 NOV – CUTI….. Pihak Kerajaan PH Johor hari ini mengisytiharkan esok sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, berkata pemberian Cuti Khas Peristiwa dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT dalam mengharumkan nama Johor.

“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dengan ini kerajaan Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad (esok), sebagai hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sempena kejayaan pasukan JDT.

“Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, JDT menang mudah menewaskan Kedah dengan jaringan 3-0. – WD MY