JAKARTA, 24 Dis – Tertarik…… Fenomena ‘Om Telolet Om’ di mana masyarakat
meminta pemandu bas dan lori membunyikan hon berirama sebagai hiburan untuk
mereka, turut mendapat reaksi Presiden Joko Widodo.
Media dalam talian memetik Presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan
nama Jokowi itu berkata, fenomena tersebut adalah satu cara rakyat mencari
hiburan secara sederhana dan merasa bahagia mengenainya.

“(Om Telolet Om) sebuah kesederhanaan, sebuah kesenangan, sebuah kebahgiaan
dari rakyat untuk memperoleh sebuah hiburan atau hobi, saya kira sangat bagus,”
katanya.

Fenomena yang bermula di Indonesia itu kini dilaporkan telah berjangkit ke
seluruh dunia apabila ia menjadi viral di media sosial menerusi video orang awam
terutamanya golongan remaja memegang kad besar di tepi jalan dengan tulisan
‘Om Telolet Om’ yang bermaksud “Pakcik bunyikan hon berirama pakcik’.
Jokowi berkata fenomena ‘Om Telolet Om’ adalah bukti kekuatan pengaruh media
sosial dalam kalangan rakyat seluruh dunia sehingga sesuatu aktiviti di sesebuah
negara boleh menjadi ikutan di negara lain. – WD MY