SHAH ALAM, 12 April – TARIK…… Barisan Nasional (BN) Selangor yakin manifesto untuk orang muda mampu menarik sokongan golongan muda kerana inisiatif yang disediakan baik untuk golongan itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, satu kumpulan khas akan diwujudkan bagi memudahkan golongan belia di Selangor didekati.

“Kita akan wujudkan ahli majlis belia di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik belia, kita mahu mereka menyediakan program untuk belia di kawasan masing-masing.

“Sekarang PBT ada Ahli Majlis mengikut zon, nanti kita akan wujudkan ahli majlis belia untuk membantu golongan belia lain di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Manifesto Jaminan Orang Muda Barisan Nasional (JomBN) yang dilancarkan Selasa lalu.

Noh berkata, kerajaan diterajui BN sebelum ini sudah melulus dan mewujudkan beberapa inisiatif termasuk rumah transit.

“Kita akan wujudkan bandar belia manakala Pusat Transformasi Usahawan (ETC) yang akan dilancarkan minggu depan, kita akan kumpulkan agensi yang bantu pembangunan keusahawanan untuk memberi peluang kepada belia terbabit dalam keusahawanan iaitu pertama sekali di Selangor,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga akan diluaskan ke seluruh negara.

Malam Selasa lalu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, melancarkan JOM yang bertemakan Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Manifesto itu menggariskan lapan jaminan yang menyentuh aspek kehidupan, sosial dan kewangan golongan muda.

Antara jaminan ditawarkan termasuk membantu orang muda melangsungkan perkahwinan; menyediakan dana ADAM50 untuk setiap kelahiran bayi serta memastikan belia mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas mendaftar.

Dalam manifesto itu juga, Pemuda BN berjanji menambah baik struktur gaji bagi anak muda; melahirkan lebih ramai usahawan muda; menyediakan Pas Bulanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta memberi bantuan kepada semua segmen belia termasuk orang kurang upaya, belia orang Asli, dan bekas banduan juvana.-MY WD