KUALA LUMPUR, 24 Feb – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
akan menerima penambahan aset dan beberapa peralatan agar agensi di bawah
Kementerian Dalam Negeri itu dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, JPAM perlu diperkukuhkan fungsinya dengan aset-aset tambahan bagi
memastikan ia sentiasa bersiap siaga ketika berlakunya bencana yang melibatkan masyarakat.

“Aset-aset yang diperlukan antaranya helikopter, bot Amfibia, bot berkuasa
tinggi, lori 10 tan dan lima tan serta dapur bergerak.

“Peruntukan yang diperlukan bagi aset ini mencecah ratusan juta ringgit,”
katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat JPAM di
sini hari ini.

Menurutnya, jika aset diperbanyakkan mengikut nisbah keanggotan JPAM maka
tindakan yang lebih efisien boleh dilakukan, selain menarik minat lebih ramai
masyarakat menyertai JPAM.

“JPAM telah mengambil langkah menarik ramai tokoh dalam pelbagai bidang
untuk membantu agensi kerajaan ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata JPAM sebenarnya memainkan peranan yang besar terutamanya
dalam menangani masalah bencana dan malapetaka.

“JPAM membuktikan ketika malapetaka terutamanya banjir yang berlaku sebelum
ini, agensi ini berada di hadapan walaupun mengalami kekangan kekurangan aset
dan peralatan yang digunakan sebagai bantuan,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY