KUALA LUMPUR, 3 APRIL – LAKSANA…. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding) bermula 15 April ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata sistem e-bidding itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’.

“e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC… bermakna, nombor itu akan ditender melalui online. Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja… ia akan bergerak, dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana menggunakan dalam talian,” katanya.

Tahun lepas, keputusan tender bagi siri nombor plat FB menunjukkan harga paling mahal ialah RM660,000 bagi siri FB 1, yang mirip kepada singkatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI).

JPJ memperoleh RM280 juta melalui bidaan pendaftaran nombor plat kenderaan pada tahun 2017 manakala RM137 juta diperoleh menerusi belian biasa.

Datuk Seri Shaharuddin berkata e-bidding memudahkan pengguna mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tanpa perlu menghantar borang seperti sebelum ini.

JPJ akan memperkenalkan satu lagi projek iaitu sistem pemanduan kenderaan secara elektronik yang menguji kenderaan di dalam bilik kawalan menggunakan pemanduan secara digital.

Sementara itu, beliau berkata Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke-73 akan diadakan di Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya pada 15 April. – WD MY