SHAH ALAM, 17 Dis – SAMAN…… Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan saman terhadap empat pemandu kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memotong barisan.

Ketua Seksyen Penguatkuasaan JPJ Selangor, Mohd Azlan Shah Othman, berkata, semua pemandu berkenaan dikenakan kompuan RM300 setiap seorang.

“Dua pemandu, masing-masing dikesan menggunakan telefon bimbit ketika memandu di Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

“Dua lagi pemandu disaman kerana kesalahan memotong barisan di Jalan Subang menghala ke Lebuhraya Guthrie mengikut Kaedah 3 (2)(B) Kaedah Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya pada sidang media selepas Ops Patuh 2 yang dijalankan, hari ini.

Mohd Azlan Shah berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu notis larangan penggunaan kenderaan kepada seorang pemandu.

Notis itu mengarahkan pemandu berkenaan membetulkan pencahayaan lampu keretanya dan perlu hadir ke JPJ untuk pemeriksaan.

“Jika pemandu itu tidak hadir dalam tempoh 14 hari, ini bermakna dia gagal mematuhi arahan dan akan disaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan Shah berkata, sepanjang Ops Patuh 2 itu, lebih 100 anggota JPJ Selangor bertugas dalam usaha memastikan pengguna jalan raya selamat sekali gus mengelakkan kemalangan.

Katanya, sepanjang Ops Patuh 2 itu yang bermula 24 November lalu hingga 31 Disember ini, operasi akan dijalankan melebihi 12 jam bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Ops ini bukan sahaja membabitkan anggota di ibu pejabat tetapi semua di cawangan stesen penguatkuasaan turut diarahkan berbuat demikian,” katanya. – WD MY