KUALA LUMPUR, 26 Ogos – DITERUSKAN……Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata Operasi Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sebelum ini digantung susulan insiden tiga anggotanya memecah masuk pejabat Ketua Pengarah Julai lalu, akan diteruskan.

Nadzri berkata pasukan elit itu masih wujud namun akan ditambah baik dengan mengemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai garis panduan baharu bagi memantapkan pasukan mengikut keperluan semasa.

Tanpa menyatakan bila PTK akan beroperasi semula, beliau berkata, kajian mengenai SOP baharu dijalankan dengan pembabitan semua anggota dan pegawai yang bertanggungjawab dalam pengoperasian pasukan itu menerusi bengkel bulan lalu.

“Pasukan masih ada tapi kita nak tengok semula SOP bagi tujuan penambahbaikan.

“PTK menjalankan tugas khas perisikan untuk mencegah sindiket seperti tonto dan lesen palsu.

“Ia tidak boleh dilakukan secara terbuka kerana bukan operasi biasa, justeru kita perlu kaji semula SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program MyPrihatin JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kawasan Parlimen Seputeh di Dewan Auditorium Institut Latihan Perindustrian (ILP) KL di sini, hari ini.

PTK dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada April tahun lalu namun operasinya digantung sementara waktu susulan tindakan tiga anggotanya memecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ di Presint 4, Putrajaya pada 13 Julai lalu.

Sementara itu, Nadzri berkata, seramai 359 peserta program MyPrihatin dilesenkan pada penganjuran kali-2 peringkat Parlimen Seputeh.

Katanya, program dengan kerjasama institut latihan memandu itu bertujuan meringankan beban golongan kelompok B40 untuk memiliki lesen memandu secara sah dengan kadar bayaran minimum serendah RM159 berbanding harga biasa RM360.

“Program ini sudah diperluas di negeri lain. Saya sudah keluarkan arahan kepada pengarah JPJ negeri untuk mengenal pasti kawasan tertentu yang mempunyai golongan kurang berkemampuan mengambil lesen,” katanya. – WD MY