PUTRAJAYA, 1 Dis – SIASATAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan memulakan siasatan mengikut perundangan termasuk kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan ketika urus niaga mata wang asing (forex) sekitar 1990-an.

Ahmad Zahid berkata, JSJK Bukit Aman akan menyiasat jika ada permintaan rasmi dan laporan polis dibuat seperti dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Walaupun Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an tidak mempunyai kuasa perundangan, namun dapatan kajian itu mengesyorkan siasatan mengikut perundangan dilakukan.

“Mereka mencadangkan beberapa personaliti yang dinamakan dalam laporan itu disiasat mengikut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui selepas merasmikan Karnival Planet Ummah dan melancarkan aplikasi Etikaf Tiga Masjid Utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Masjid Putra di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 5,000 umat Islam di masjid berkenaan.

Semalam, Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh BNM sekitar tahun 1990-an membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Laporan polis dibuat oleh Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail selaku Setiausaha suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu mencadangkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah atau penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan pegawai BNM, Lembaga Pengarah BNM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam pelaksanaan aktiviti spekulatif pertukaran mata wang asing dan pelaporan kerugian dialami BNM sekitar 1990-an.

Mohamad Fuzi dilaporkan berkata, PDRM menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex BNM sekitar 1990-an. – WD MY