BANDAR SERI JEMPOL, 10 Dis – BAIK HATI…… Seorang peniaga melakukan jualan khas pakaian seragam sekolah pada harga RM5 sehelai.

Mohd Faezli Kussin, 25, dari Tangkak, mengadakan jualan itu menggunakan lorinya di beberapa lokasi strategik termasuk kawasan letak kenderaan di bandar ini dan Bahau dekat sini, sejak semalam.

Beliau membuat hebahan mengenai jualan itu di laman Facebook dan bersyukur sambutan diterima daripada penduduk tempatan amat menggalakkan.

“Dua hari di sini, kira-kira 8,000 helai pakaian dijual. Walaupun keuntungan tidak begitu lumayan, saya gembira dapat membantu golongan yang memerlukan mendapatkan seragam sekolah pada harga murah,” katanya.

Beliau yang ditemani isteri, Syarifah Syafizah Syed A Bakar, 26, merancang membuat jualan itu di Seremban, Rabu ini.

Mohd Faezli tidak menyangka jualan murah berkenaan mendapat sambutan menggalakkan, justeru akan mengadakannya lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang pelanggan, Siti Noraisah Bidin, 40, dari Bandar Seri Jempol, berkata harga ditawarkan iaitu RM5 bagi baju, seluar, kain, samping dan tudung murid serta pelajar jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Biasanya sehelai baju atau seluar di kedai dijual pada harga RM10 hingga RM30, namun di sini semuanya RM5. Saya dapat berjimat membeli pakaian untuk dua anak,” katanya. – WD MY