KUALA LUMPUR, 14 MAC – SASAR….. Satu Sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan bersih mencecah RM300,000 sebulan, tumpas selepas polis menyerbu rumah kedai tiga tingkat di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata dalam serbuan jam 2 pagi itu, 14 lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 33 tahun ditahan selain merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan terbabit dengan anggaran nilai keseluruhan RM100,000.

Katanya, antara dirampas termasuk 15 set komputer, tujuh set komputer riba, 110 telefon bimbit, 144 remote TAC, dan empat unit modem.

“Sindiket ini dikesan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi untuk menjalankan kegiatan terbabit dengan mensasarkan pelanggan dari Indonesia.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket mampu mengaut RM1.5 juta sebulan hasil wang pertaruhan dengan keuntungan bersih RM300,000 untuk tempoh sama.

“Modus operandi digunakan adalah dengan menawarkan permainan judi melalui laman web dan pelanggan yang berminat akan berurusan dengan sindiket melalui WhatsApp dengan transaksi dibuat dalam mata wang Rupiah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti dalang sindiket itu selain kemungkinan pembabitan rakyat tempatan yang bersekongkol dengan mereka.

Beliau berkata, semua tangkapan direman selama 14 hari sehingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- WD MY