SEPANG, MEI 18: Datuk Misbun Sidek, Ketua Jurulatih perseoragan lelaki memberitahu impiannya untuk melihat trofi keramat Piala Thomas kembali ke pangkuan Malaysia sekali gus menamatkan kemarau 26 tahun sebelum beliau mengundurkan diri.

Misbun, bekas pemain perseorangan negara, tidak menolak kemungkinan edisi Piala Thomas kali ini adalah penglibatan terakhir buat dirinya bersama pasukan kebangsaan bagi kejohanan itu yang akan berlangsung selama lapan hari bermula Ahad ini di Bangkok, Thailand.

“Ya, mungkin terakhir. Sebab itu saya harapkan kejutan dapat dicipta pasukan negara. Walaupun pada ketika tidak menjadi jurulatih, setiap edisi Piala Thomas sudah semestinya hasrat saya adalah ke arah itu, melihat Malaysia muncul juara.

“Dengan persiapan yang kita telah jalankan sepanjang beberapa bulan lepas, saya lihat pasukan kini berada dalam keadaan yang bersemangat. Saya berharap semua pemain perseorangan mahupun beregu mampu bergabung bagi merealisasikan impian menamatkan kemarau 26 tahun tanpa kejuaraan,” katanya.-MY WD