GEORGETOWN, OKTOBER 30: LGBT….Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggarkan jumlah mereka yang terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meningkat sehingga lebih 300,000 orang pada tahun ini.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komunitinya, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, peningkatan itu boleh disumbangkan oleh pelbagai faktor seperti pola asuhan, pengalaman hitam dan komuniti persekitaran.

“Dengan keterbukaan dari sudut media sosial, capaian untuk golongan muda itu lebih banyak. Ini secara tidak langsung lebih menggalakkan mereka untuk mencapai kepada aplikasi mobil yang berkaitan dengan LGBT.

“Sebab itu kita mencadangkan kepada masyarakat bermula daripada rumah kalau boleh ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka.

“Kalau dulu kita risau anak kita keluar rumah tak balik, tapi sekarang kita perlu lebih risau kalau anak kita dalam bilik dan tidak keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan seminar peradaban dan kecelaruan gaya hidup kontemporari 2018 di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini, semalam.

Menurutnya, tarikan kepada Internet dan media sosial kalau tidak dipantau, dikhuatiri boleh menyebabkan anak-anak melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2013, komuniti gay dan lesbian dianggarkan sekitar 173,000 orang, meliputi dua peratus dari keseluruhan penduduk di Malaysia.

Manakala pada 1988, terdapat seramai 10,000 orang mak nyah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 70 hingga 80 peratus adalah dari etnik Melayu, selebihnya Cina dan India.

Hasil kajian pada 2011 mendapati, hampir 65 peratus mak nyah bekerja sebagai pelacur, 25 peratus sebagai penghibur kelab, salon kecantikan, rambut dan butik, lapan peratus bekerja dengan syarikat swasta dan dua peratus adalah peniaga warung makanan.

Pada perkembangan lain, beliau mencadangkan supaya ibu bapa menghantar anak-anak ke asrama apabila mencapai umur 16 tahun.

“Itu pandangan peribadi saya, tapi boleh dibincangkan lagi sebab kita melihat gejala ini banyak berpunca daripada asrama sesama jenis.

“Ia kena berbincang dan dibahaskan dalam semua sudut sebelum mengambil apa-apa keputusan.

“Saya kira dalam hal ini Kementerian Pendidikan yang mempunyai kuasa untuk bercakap dan buat keputusan,” katanya.-MY WD