KOTA BHARU, 15 MEI – JUMPA,,,, Tindakan dua penyeludup ketum yang cuba melarikan diri daripada polis gagal apabila kenderaan mereka terbabas berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Gemang di Jeli, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dua penyeludup berkenaan yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush dari arah Lawar ke Jeli berjaya ditahan polis di Kampung Belimbing, Batu Melintang, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, kenderaan dinaiki dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, ketika cuba ditahan, suspek enggan memberhentikan kenderaan sebelum memecut laju dalam usaha meloloskan diri.

“Kita mengejar kenderaan suspek yang dipandu dalam keadaan berbahaya. Sebaik sampai di lokasi kejadian, kenderaan suspek merempuh kereta polis sebelum terbabas melanggar tiang elektrik

“Dua suspek yang berada di dalam kenderaan itu berjaya ditahan polis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan kemudian menemui 2,050 bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun dipercayai ketum dianggarkan seberat 400 kilogram bernilai kira-kira RM12,000 mengikut pasaran semasa.

“Daun ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah untuk pasaran Pasir Mas dan dua lelaki itu dipercayai mengambil upah menghantar daun ketum berkenaan dengan bayaran sekitar RM400.

“Suspek lelaki yang juga pemandu berusia 26 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamin dan mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman bermula Ahad lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pemandu kereta akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu kenderaan secara merbahaya,” katanya. – WD MY