SEGAMAT, 7 April – Berkahwin….. Jururawat bersama suaminya ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan menculik dan mengurung secara salah.

Majistret Juliana Jaafar memerintahkan kedua-dua suspek direman hingga Isnin ini mengikut Seksyen 363/342 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menculik dan mengurung secara salah.

Terdahulu, wanita berusia 32 tahun dan pasangannya berusia 40 tahun dan tidak bekerja dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi dengan diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata punca kehilangan jururawat yang viral dalam media sosial kononnya diculik dan diugut bunuh oleh bekas tunang, terjawab apabila pasangan terbabit dikesan polis sudah berkahwin di Thailand.

Katanya, pasangan itu ditahan dengan kerjasama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah, kira-kira jam 9.30 malam, Rabu lalu.

Pada 31 Mac lalu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung anak perempuannya yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini hilang.

Susulan kejadian itu, kenyataan mengenai kehilangan jururawat itu menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan mangsa diculik dan diugut bunuh. – WD MY