KUALA LUMPUR:, 13 Sept – Salah Juruterbang….. Pihak penyiasat mendapati kecuaian juruterbang dikenal pasti antara punca nahas helikopter di Semenyih, yang mengorbankan enam nyawa, termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, pada 4 April tahun lalu.

Laporan akhir nahas terbabit yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan (AAIB) menyatakan, juruterbang helikopter Dauphin AS365N3 9M-IGB, Kapten Clifford William Fournier, gagal memeriksa keadaan helikopter selepas membuat pendaratan kasar di sebuah padang bola di Muadzam Shah, Pahang pada hari kejadian.

Menurut laporan setebal 117 muka surat itu, juruterbang gagal memeriksa kerosakan pada gear pendaratan utama sebelah kiri, selain kebocoran minyak yang berlaku dan kerosakan bahagian lain helikopter terbabit sebelum memutuskan untuk terus terbang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Seorang saksi melihat juruterbang keluar daripada helikopter menemani seorang penumpang (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Wan Kadri Wan Mahusain) di kawasan rotor utama.

“Beliau bagaimanapun tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter (selepas membuat pendaratan kasar),” menurut laporan yang disiarkan di laman web rasmi Kementerian Pengangkutan. – WD MY

LEAVE A REPLY