SELAMA, 10 Feb – SETUJU….. Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kabinet bersetuju dengan kertas kerja dikemukakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai struktur Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dikemukakan pada mesyuarat Rabu lalu.

Majlis tindakan berkenaan akan memberikan tumpuan kepada lima kluster iaitu pendidikan, pengangkutan, utiliti, makanan dan minuman serta perumahan.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menetapkan tarikh mesyuarat majlis berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Lima kluster tersebut akan dipengerusikan oleh beberapa pakar dan Ketua Setiausaha Kementerian di setiap kementerian bersama yang akan terbabit secara bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan dilantik nanti.

“Kita juga akan bawa perbincangan itu ke Majlis Tertinggi yang akan dianggotai oleh Menteri, NGO dan pakar akademik untuk membincangkan secara terperinci mengenai input dan tanggungjawab majlis berkenaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Karnival Jualan Rakyat Kubu Gajah hari ini.

Penubuhan majlis tindakan itu diumumkan Hamzah pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 Disember lalu.

Ia sebagai langkah proaktif dan sebahagian sebahagian usaha menangani peningkatan kos sara hidup yang menjadi kebimbangan utama rakyat negara ini.

Penubuhan majlis itu mendapat persetujuan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri seperti dicadangkan oleh wakil UMNO Sabah, Jamawi Jaafar sebelum itu.

Majlis itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – WD MY