PUTRAJAYA, 17 Jan – Kad Pekerja…. Pihak Kementerian Dalam Negeri mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan kad pekerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mempunyai majikan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, ia adalah sebahagian langkah untuk memantau PATI dan pada masa sama memastikan tidak mengganggu operasi sektor pekerjaan yang sudah menggaji pekerja terbabit.

“Jabatan Peguam Negara memberikan kebenaran pengeluaran kad ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kad pekerja sementara ini akan dikeluarkan Jabatan Imigresen dan perlu diperbaharui setiap tahun,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan bersetuju memperluaskan kelonggaran pengambilan pekerja asing bagi sektor perlombongan serta beberapa subsektor di bawah sektor pertanian, perkhidmatan dan pelancongan.

Katanya, subsektor itu merangkumi penternakan unggas, pengendalian kargo di pelabuhan serta perkhidmatan spa dan urut kaki, hospitaliti, pulau peranginan dan kedi golf.

“Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju agar kelonggaran pengambilan diberikan kepada sektor kritikal iaitu sektor perkilangan, pembinaan perladangan dan subsektor pertanian seperti penanaman sayur, buah-buahan dan bunga.

“Kelonggaran ini diberikan selepas menimbang keperluan pihak industri agar ia tidak merencatkan pertumbuhan ekonomi terutama bidang yang berasaskan eksport,” katanya. – WD MY