?KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Perdana Menteri DatukSeri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menyediakan kad pengenalan khas, penempatan serta peluang pendidikan kepada 3,000 pelarian Syria.

Ahmad Zahid berkata, peluang pekerjaan sementara juga akan disediakan kepada kumpulan berkenaan.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di New York bahawa Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian. 

Perdana Menteri berkata, negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

 “Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan,” kata Najib.?

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bahawa Mesyuarat Menteri-menteri Asean juga akan menyumbang di dalam tabung Asean bagi membantu mangsa pemerdagangan manusia dalam menguruskan dan memastikan mereka dilindungi.

“Yang penting adalah perlindungan kepada mereka dan keluarga, dan kita akan
memikirkan beberapa pendekatan tentang memberikan pendidikan untuk anak-anak
mereka juga.

“Kita gunakan pengalaman lalu supaya penempatan, pendidikan
dan peluang pekerjaan sementara dapat diberikan kepada mereka sehingga keadaan
(kembali) aman di Syria dan mereka dapat pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai
Kebangkitan Radikalisme dan Ekstremisme Ganas, hari ini.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan mengadakan kerjasama dengan
International Organisation for Migration dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan
Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengeluarkan kad pelarian yang
mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Ditanya bila pelarian berkenaan tiba di Malaysia, katanya beliau akan
mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai perkara itu
dengan Perdana Menteri selepas beliau pulang dari luar negara.

“Lokasi penempatan rakyat Syria berkenaan juga belum diperincikan,” katanya. -Faizal Dato Badarudin (WD MY)

?

?

LEAVE A REPLY