KUALA LUMPUR, MAC 19:DAKWAAN..Dakwaan bahawa kadar kebolehpasaran graduan di negara ini kurang memberangsangkan adalah tidak tepat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, menyangkal kenyataan itu dan menjelaskan bahawa kadar kebolehpasaran semasa graduan adalah 79.1 peratus.

Katanya, seiring pelbagai usaha dirangka kerajaan, kadar pengangguran belia di Malaysia ialah 12.4 peratus, berbanding perangkaan purata dunia sebanyak 13.8 peratus.

“(Malaysia) lebih baik daripada pengangguran di New Zealand (14 peratus), Australia (12.5 peratus), Filipina (13.5 peratus) dan Indonesia (19 peratus).

“Kejayaan ini ditempa hasil usaha menghapuskan tembok pemisahan antara industri dan akademik yang selama ini mencetuskan pelbagai isu berbangkit,” katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kui Lun membangkitkan persoalan berhubung kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia yang didakwa masih kurang memberangsangkan, sekali gus menuntut penyelesaian tuntas daripada kerajaan.

Idris berkata, siri rundingan dilaksanakan kerajaan dalam mengenal pasti permintaan industri terhadap kemahiran dan kepakaran graduan supaya selari kehendak pasaran.

“Oleh itu, kita wujudkan kurikulum organik di institusi pengajian tinggi yang bersifat anjal merangkumi 30 peratus daripada kursus pembelajaran.

“Pembentukan kurikulum ini bebas mengikut kehendak semasa, sekali gus menangani ketidakpadanan kemahiran graduan dengan kehendak industri,” katanya.-MY WD