KUALA LUMPUR, 5 Dis – CALON… ┬áTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kaedah calon langsung boleh diguna pakai di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Zahid berkata, walaupun tidak terikat dengan formula atau kaedah yang diguna pakai ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kaedah itu boleh dilaksanakan di beberapa kerusi pada PRU akan datang.

“Saya fikir kita perlu perjelaskan dan bincangkan secara terperinci kerana formula ini diguna pakai di Sarawak.

“Saya fikir kita tidak akan terikat dengan formula itu tetapi saya rasa mungkin wujud keperluan di beberapa kerusi yang membolehkan formula ini dilaksanakan di Semenanjung,” katanya kepada media selepas merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau ditanya mengenai reaksi beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sudah menamakan beberapa kawasan untuk mengguna pakai kaedah calon langsung, termasuk di kerusi Cameron Highlands.

 

Mengenai PAU 2017, Ahmad Zahid berkata, perhimpunan tahunan kali ini bakal menjadi pentas untuk perwakilan dan pemerhati menonjolkan kesiapsiagaan parti menghadapi PRU-14.

Ditanya sama ada perhimpunan ini membuka peluang kepada UMNO untuk menonjolkan sebagai parti terbaik, beliau berkata, ia tidak hanya tertumpu pada UMNO semata-mata, sebaliknya turut menunjukkan kekuatan bersama parti komponen BN. – WD MY