KUALA LUMPUR, 24 Sept – Dalam Kajian….. Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan sedang menjalankan kajian bagi meneliti keperluan menyediakan perkhidmatan bas percuma khas bagi penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) ke tempat kerja.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata perkhidmatan itu cuma meliputi kawasan PPR ke stesen Aliran Transit Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) berdekatan.

Selain itu, katanya, KWP melaksanakan konsep sewa untuk beli (rent to own) selama 25 tahun bagi memudahkan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakyat memiliki rumah.

“Konsep ini dapat membantu menyediakan rumah mampu milik bagi warga yang layak.

“Semua ini bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, sejajar usaha kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi bagi golongan itu di kawasan bandar,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci Apartmen Seri Ceria 1 dan 2 di PPR Pinggiran Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sebanyak 632 unit rumah kos rendah di blok G dan H ditawarkan kepada kakitangan yang layak dengan lapan unit daripadanya dikhaskan untuk orang kelainan upaya (OKU) pada harga RM42,000 seunit.

Pada 14 Ogos lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan anak-anak penghuni PPR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditawarkan perkhidmatan bas sekolah percuma. – WD MY

LEAVE A REPLY