KUANTAN, 30 Jan – TAHAN…… Pihak Polis menahan seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Ton’ yang disyaki terbabit dalam penipuan pakej umrah membabitkan 16 mangsa dari FELDA Keratong, Rompin, dengan kerugian berjumlah kira-kira RM117,500 tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek yang berusia 48 tahun itu ditahan jam 11.35 pagi tadi selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

“Berdasarkan fakta kes, seramai 16 mangsa membayar wang sebanyak RM 117,500.00 kepada suspek pada 25 Januari tahun lalu untuk mengikuti pakej menunaikan umrah pada bulan lalu (Disember).

“Bagaimanapun, pada November lalu, suspek memberitahu mangsa bahawa pakej umrah yang dijanjikan tidak dapat dilakukan malah wanita terbabit juga tidak dapat memulangkan semula wang mangsa,” katanya hari ini.

BH sebelum ini melaporkan mengenai 48 individu termasuk peneroka FELDA Keratong, Rompin, mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 ditipu seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Ton’ yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember lalu, membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah.

Difahamkan, Kak Ton adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula akan bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu berkenaan mengerjakan umrah.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata siasatan pihaknya juga mendapati modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan orang ramai dengan menawarkan pakej umrah yang tidak wujud.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Kita akan bawa suspek ke IPD Rompin dan wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Majistret Rompin esok,” katanya. – WD MY