SEPANG, 23 OKT -LAYANAN…. “Layanan hospital di sana bagus cuma ada masalah bahasa. Bagaimanapun, saya bersyukur dan alhamdulillah dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” kata kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shamsul Bahrin Md Shukur, 55, iaitu mangsa kemalangan di Turki.

Beliau adalah seorang daripada enam kakitangan PKNS yang juga kumpulan terakhir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.50 malam tadi.

Menceritakan pengalaman menerima rawatan di hospital di negara berkenaan, Shamsul Bahrin berkata, dia perlu banyak berdikari termasuk makan sendiri biarpun tidak mampu melakukannya ekoran kecederaan dialami.

“Kita kena berusaha sendiri sepanjang menerima rawatan di sana. Saya susah nak makan sendiri dan kakitangan di sana tidak ada yang menyuapkan tetapi saya tetap gagahkan tangan.

“Termasuk ke tandas untuk membuang air pun saya perlu menggagahkan diri. Biarpun begitu, layanan diberikan oleh kakitangan hospital sangat baik dan mereka turut membantu saya,” katanya.

Ketibaan enam kakitangan PKNS itu disambut oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Dalam pada itu, Shamsul Bahrin berkata, dia mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta patah tangan dan gigi.

Seorang lagi kakitangan PKNS, Mohd Zain Sarman, 56, berkata, ia pengalaman pertamanya berdepan kemalangan di luar negara sekali gus menyifatkan insiden itu ujian daripada Allah.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana selamat pulang ke tanah air hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada pihak PKNS, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Turki serta pihak yang berkenaan terbabit dalam memudahkan urusan kami di sana sehingga pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara turut mengambil insurans bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Tahniah kepada PKNS kerana begitu segera dan pantas menguruskan ahli rombongan ini. Kita belajar daripada pengalaman betapa penting mengambil ejen pelancongan yang baik serta insurans jika ke luar negara.

“Kami di Wisma Putra pernah berurusan beberapa kes sebelum ini dan sangat sukar jika pelancong tidak ada insurans. Ini suatu amalan baik diamalkan oleh PKNS dan boleh menjadi teladan kepada organisasi lain dan rakyat Malaysia,” katanya.

Enam kakitangan PKNS terbabit kemudian dibawa ke Hospital Pakar Avisena, Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian pada 16 Oktober lalu kira-kira 11.35 pagi waktu tempatan, seorang maut selepas bas dinaiki 34 rakyat Malaysia ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodocia, Turki hilang kawalan sebelum terbabas.

Kakitangan PKNS yang maut ialah Eksekutif Jualan Hartanah PKNS, Azalan Miswan, 50.

Insiden yang dilaporkan berlaku di Afyonkarahisar itu turut menyebabkan empat daripada mangsa tercedera dilaporkan mengalami kecederaan serius. – WD MY