KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kenal Pasti……  Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata satu pertemuan dengan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan diadakan dalam tempoh terdekat susulan kes lemas membabitkan tujuh kanak-kanak, Jumaat lalu.

Kamalanathan berkata ia bertujuan mengenal pasti beberapa zon bahaya, khususnya kepada kanak-kanak di sekitar kawasan kejadian di Kampung Timah, dekat Bukit Beruntung.

“Saya sudah berunding dengan pihak MHDS supaya satu pertemuan dengan Yang Dipertua majlis itu diadakan secepat mungkin.

“Kita kenal pasti bukan satu tetapi beberapa kawasan yang bahaya atau tidak sesuai kepada kanak-kanak di sekitar kejadian iaitu sepanjang Sungai SKC.

“Oleh itu, antara usaha yang akan dilakukan adalah memagar zon bahaya dan mewujudkan kawasan permainan lebih sesuai,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ketika berkunjung ke rumah mangsa, Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, keluarga Muhammad Shahir menggambarkan kanak-kanak itu suka bersendirian sejak kecil.

Bagaimanapun, katanya, kejadian yang mengorbankan tujuh rakannya itu menyebabkan emosi kanak-kanak berkenaan terganggu, termasuk pergaulannya dengan rakan sebaya.

“Kita akan hantar kaunselor ke rumahnya secepat mungkin supaya semangat adik ini dapat dipulihkan,” katanya. – WD MY