KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 13:PELAJAR…. Kira-kira 50 wakil pelajar dari seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mendesak beliau meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam itu, yang diadakan di sebuah restoran di sini, bagaimanapun berakhir dengan kumpulan wakil pelajar itu mengeluarkan resolusi bahawa mereka akan mengumpul seluruh tenaga pelajar di semua IPT di seluruh negara bagi mengadakan bantahan jika Maszlee masih gagal berbuat demikian.

“Kami beri tempoh tujuh hari untuk meletakkan jawatan. Jika beliau tidak berbuat demikian, kami akan mengumpul dan menggerakkan lebih ramai pelajar untuk menentang beliau,” kata ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak berhubung pelantikan itu dan menambah ini adalah kerana perkara tersebut didukung oleh Rektor UIAM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang menekankan kepentingan menegakkan autonomi universiti tersebut dan sebarang keputusan tidak boleh diputuskan olehnya sendiri serta dibuat dalam keadaan terburu-buru.

“Saya mempunyai misi dan visi tersendiri dalam menjadikan UIAM sebagai salah sebuah ‘Universiti Oxford’ negara Islam. Saya juga ada komitmen sendiri terhadap universiti ini.

“Tambahan pula saya disokong oleh rektor dan dilantik Presiden UIAM oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM, secara undang-undang saya sudah menjadi presiden. Sebab itu saya perlu berunding dengan semua pihak di UIAM kerana lantikan dibuat bukan membabitkan keputusan saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan tersebut.-MY WD