Kami Sokong Tindakan Jamal Md Yunos – Ismail Kijo

0
161

AMPANG JAYA, 31 Dis – Sokong…… Pihak UMNO Bahagian Ampang menyokong tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos, yang melakukan ‘pemeriksaan dan menyerbu’ dua unit premis judi haram di Taman Kosas, di sini, kelmarin.

Datuk Ismail Kijo, berkata pihaknya sudah banyak kali membuat pendedahan dan bantahan kepada pihak kerajaan negeri, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung masalah itu, namun namun kegiatan itu masih berterusan.

Kata Ismail, pihaknya berdiri teguh dan akan bersama Jamal serta NGO lain dalam usaha membanteras kegiatan judi haram, seterusnya menjadikan kawasan Ampang bebas daripada kegiatan judi haram serta maksiat seperti rumah urut.

“Apa yang saya nampak, desakan kami supaya kegiatan judi dan maksiat ini dibanteras habis-habisan tidak diendahkan oleh pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami berasa seolah-olah kegiatan itu dilindungi oleh pihak tertentu seperti ahli majlis…seperti yang kita pernah dedahkan sebelum ini, kekayaan luar biasa dimiliki individu tertentu itu ada kebarangkalian hasil daripada ‘biaya’ tauke judi haram di daerah ini,” katanya pada sidang media di Taman Kosas.

Beliau sebelum itu bersama Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd Salleh melawat premis judi haram yang ‘diserbu’ oleh Jamal.

Sementara itu, Hamdan berkata, desakan untuk menutup premis judi haram itu bukan saja daripada NGO, malah masyarakat yang mahu kegiatan itu dibanteras habis-habisan.

“Di manakah peranan Azmin sebagai menteri besar berhubung isu ini? Apakah beliau hanya setakat melihat dan tidak mahu mengambil tindakan sewajarnya?

“Adakah beliau akan terus membiarkan dan meluluskan Lesen Hiburan Keluarga kepada pengusaha pusat judi, seolah-olah ada kesepakatan antara mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri perlu lebih bertanggungjawab dengan membekukan lesen sedia ada. – WD MY