KUALA LUMPUR, JAN 14: SOKONG NAJIB….Penghuni Residensi Kerinchi di sini rata-rata berkata, mereka akan tetap menyokong Datuk Seri Najib Razak berikutan jasanya yang banyak kepada penduduk di kawasan itu.

Usaha bekas perdana menteri itu membantu golongan bawahan di Residensi Kerinchi segar di ingatan Fatimah Chelah, 63 yang kini tinggal di pangsapuri tersebut.

“Saya datang ke sini sebab dari dulu sampai sekarang sokong Umno dan Najib. Saya tak pernah tinggalkan Umno.

“Saya sedih tengok Najib sekarang. Dia kena macam-macam (pertuduhan). Saya rasa tuduhan itu mainan politik.

“Jasa dia banyak, jadi saya tetap sokong. Lagi pun sekarang dia ‘kuat’ bercakap untuk rakyat, untuk kita,” katanya.

Seorang lagi penduduk Residensi Kerinci yang mahu dikenali Ahmad, 48, turut mengakui rumah asal yang dibeli ayahnya pada harga RM60,000 dulu, kini bernilai RM600,000.

Ahmad berkata, apa yang penting ialah sebagai rakyat Malaysia, tidak kira parti mana yang memerintah, golongan bawahan, seperti kumpulan B40 harus dibantu.

“Rakyat sekarang sudah bijak menilai dan memerhati setiap langkah yang dilakukan kerajaan.

“Bagi saya, dasar kerajaan terdahulu dilihat lebih baik daripada dasar kerajaan masa ini. Saya ‘neutral’ dan memerhati isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti isu B40, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bantuan Sara Hidup,” katanya.

Penduduk residensi yang sama, Mohd Aminuddin Md Noor, 38 berkata, walaupun Najib sedang menghadapi beberapa tuduhan di mahkamah, namun selagi bekas perdana menteri itu tidak didapati bersalah, maka beliau akan terus menyokongnya.

Aminuddin berkata, Najib kini banyak bercakap soal rakyat yang menyebabkan orang ramai mula merindui zaman pemerintahannya dulu.

Beliau berkata, orang muda, terutama mahasiswa juga marah terhadap kerajaan sekarang dalam soal PTPTN berikutan kegagalannya menunaikan janji manifesto mereka.

Seorang mahasiswa yang ditemui dalam program itu juga teruja melihat kelantangan Najib di media sosial dan banyak bercakap soal kebajikan rakyat.

Beliau yang ingin dikenali Farah juga senada dengan Aminuddin berkata, selagi pimpinan Umno seperti Najib dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak didapati bersalah oleh mahkamah, beliau akan menyokong mereka.

“Saya tak kisah tuduhan, selagi tak dibuktikan di mahkamah, saya akan sokong. Ini melibatkan semua orang lain juga.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang kelihatan carca-marba kerana terlalu ramai pemimpin yang mahu mengemudi parti dan kerajaan.

“Bagi saya terlalu banyak buat hala sendiri. Parti A buat cara dia, parti B cara ini dan banyak ketua,” katanya.

Residensi Kerinchi yang merupakan sebuah pangsapuri moden 18 tingkat dibina bagi menggantikan rumah pangsa 4 tingkat di Kampung Kerichi telah dirasmikan oleh Najib pada 27 Feb 2017.

Ia dimajukan oleh Sez Domaind Sdn Bhd bagi menggantikan rumah pangsa tiada bilik atau satu bilik setinggi 4 tingkat yang dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 1972.

Rumah pangsa berkenaan dirobohkan 6 lalu dan digantikan dengan pangsapuri moden berkeluasan 900 kaki persegi yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air bagi memberikan keselesaan kepada seramai 472 penghuni.

Seramai 408 penduduk asal rumah pangsa Kampung Kerinchi masing-masing mendapat sebuah unit pangsapuri baru yang dianggarkan bernilai RM500,000 setiap satu, jauh berbeza daripada rumah asal yang berharga RM50,000.-MY WD