GEORGETOWN, 21 FEB – MAUT….. Kanak-kanak perempuan maut apabila dilanggar sebuah kereta yang merempuh kediamannya di Tanjung Tokong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Annur Sumayyah Syabandi, 3, berada di rumahnya sebelum sebuah kereta jenis Proton Saga tiba-tiba berundur laju dan merempuh kediaman kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata pemandu kereta terbabit, iaitu seorang wanita berumur 35 tahun, dikatakan tidak sengaja terpijak pedal minyak ketika mahu berundur.

 

“Akibatnya, pemandu berkenaan merempuh masuk halaman salah sebuah rumah di kawasan perumahan itu, tanpa mengetahui ada kanak-kanak di kawasan terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan bantuan ambulans tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya malam tadi.

Che Zaimani berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa parah di kepala dan cedera beberapa anggota badan.

Beliau berkata, pemandu wanita itu yang juga jurujual di sebuah pasar raya, kini ditahan untuk ujian saringan air kencing dan membantu siasatan.

“Polis sedang mengenal pasti saksi bebas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — WD MY