PARIT, 13 MEI – MAUT… Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan untuk ke surau di hadapan rumahnya di Kampung Ekor Lambat, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Ammar Raziq Azhar, 10, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang di sini, jam 6.55 petang.

Difahamkan, Muhammad Ammar melintas jalan untuk berbuka puasa di masjid di hadapan rumahnya disebabkan hari ini adalah giliran bapanya mengadakan majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak hospital jam 7.17 malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal dari arah Parit menghala ke Bota itu melanggar mangsa yang dipercayai secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Penunggang motosikal berusia 23 tahun turut cedera. Bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian akibat parah di bahagian kepala,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam tragedi berasingan, seorang lelaki warga emas maut dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika mendaki laluan batu berbukit untuk memancing di Pantai Teluk Batik, Lumut di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa Ching Bong Bui, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 7.15 malam dan sembilan anggota bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi untuk bantuan lanjut.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika mendaki laluan batu berbukit dan anggota bomba menemui topi mangsa di bahagian atas.

“Anggota kemudian menemui mangsa di celahan batu bersama peralatan memancingnya pada jam 7.52 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – WD MY