KUALA LUMPUR, 17 Dis – Hilang……. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Norellysha Maisarah Yusman, dilaporkan hilang selepas keluar bermain di kawasan rumahnya di Puchong, pagi semalam.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Puchong, terbabit dipercayai keluar dari rumah di Kampung Sri Langkas Tambahan, Batu 13, Puchong, untuk bermain bersama rakan, jam 10 pagi.

Ketika budak perempuan itu keluar rumah, ibunya sedang membersihkan rumah.

Bagaimanapun, apabila hingga jam 4 petang, anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pulang, ibunya mula bimbang dan mencari di kawasan perumahan itu.

Beberapa jiran mendakwa melihat Norellysha Maisarah bermain bersama anak mereka sebelum kehilangannya disedari.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kanak-kanak itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hadhirah Sutin di talian 016-2024869 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di talian 03-78627222.

Keadaan fizikal Norellysha adalah berambut hitam dan pendek, berkulit hitam manis, bermata coklat dan berbadan kurus. – WD MY