JOHOR BAHRU, 8 Jan – Teliti…..Pihak Kerajaan diminta meneliti kes berkaitan kanak-kanak tanpa taraf kewarganegaraan yang sah (stateless child) supaya mereka turut diberi peluang pendidikan sama rata seperti kanak-kanak lain.

Pengerusi Yayasan EcoWorld, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana pendidikan adalah hak asasi setiap individu tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

“Baru-baru ini muncul isu berkaitan ‘stateless child’ yang tidak dapat bersekolah kerana status mereka, namun saya berharap kerajaan dapat mencari jalan supaya golongan terbabit tidak dinafikan hak pendidikan mereka.

“Ini kerana pendidikan bukan sahaja satu bentuk hak asasi manusia tetapi juga menjadi faktor utama dalam membantu dalam kehidupan mereka, khususnya di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Zon Johor di sini, malam tadi.

Lam Thye berkata, biarpun tidak berharap kerajaan terlalu terbuka dalam soal ini sehingga ramai pihak akan mengambil kesempatan, masa depan kanak-kanak malang ini boleh dipertimbangkan.

“Pendidikan amat penting kepada semua kanak-kanak. Isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan adalah isu besar dalam negara, namun kita tidak boleh mengharap dasar kerajaan terlalu terbuka kerana tidak mahu semakin bertambah pula golongan kanak-kanak ini sehingga ramai yang akan mengambil kesempatan,” katanya. -WD MY