KUALA LUMPUR, 2 Nov – Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 40 minit selepas pergelangan kakinya tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli-belah terkemuka, di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam tersebut berlaku ketika kanak-kanak malang
itu bersama keluarganya sedang turun dari aras tiga menuju ke aras dua pusat
membeli-belah berkenaan, sebelum tersepit.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila kasut mangsa tersepit di celah sebelah
kiri tangga bergerak tersebut,” kata Penolong Kanan Penguasa Bomba Sukarela
pusat membeli-belah berkenaan, Che Shaari Abdullah kepada pemberita.

Sebanyak 13 pegawai dan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi
kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.39 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 7.48 malam, kami terpaksa mengumpil
tangga tersebut bagi mengeluarkan kaki kiri mangsa.

“Operasi berjalan lancar dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di
pergelangan kakinya dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,”
katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY