JOHOR BAHARU, 19 Ogos – Tahan Kapal Minyak…… Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) menahan sebuah kapal minyak milik Rusia pada kedudukan 3.5 batu nautika
tenggara perairan Tanjung Piai dekat Pontian, di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Johor Baharu, Komander Maritim
Iskandar Ishak berkata kapal itu yang membawa 31,000 metrik tan minyak bahan
bakar marin (MFO) serta 25 kru warga Rusia, berusia antara 24 dan 59 tahun,
ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran.

Katanya, penahanan dilakukan pada 9.30 pagi selepas pihaknya mendapat
maklumat berhubung pengesanan sebuah kapal bersauh di kawasan terbabit.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen
kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk berlabuh tunggu
serta didapati melakukan kesalahan bersauh di kawasan larangan bersauh di
hadapan pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Selain itu, ia juga gagal memaklumkan ketibaan kepada mana-mana pihak
berkuasa perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Hasil siasatan awal, kapal berkenaan dikatakan berlayar dari Bangladesh dan
bersauh di kawasan terbabit untuk menunggu jadual pelayaran dari ejen kapal.

Iskandar berkata tiga daripada kru terbabit dibawa ke pejabat APMM di
sini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B (1)(L) dan Seksyen 449 Ordinan
Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda sehingga RM100,000 atau
penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. – WD MY

LEAVE A REPLY