SEGAMAT, 23 Dis – Punca…..  Kapasitor dalam mentol lampu dikenal pasti sebagai punca utama berlaku kebakaran di tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, dekat sini pada 25 Oktober lalu.

Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata hasil laporan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dan Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati kerosakan itu kemudian mengakibatkan berlaku percikan api yang merebak ke keseluruhan kawasan termasuk di ruangan menempatkan pelbagai bahan mudah terbakar di wad terbabit.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh Bomba Johor dan Suruhanjaya Tenaga mendapati punca utama kebakaran disebabkan kerosakan pada kapasitor dalam mentol lampu di atas siling di wad ICU berkenaan.

“Ketika ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih di keseluruhan kawasan yang terjejas akibat kebakaran dan kerja baik pulih itu dijangka mengambil masa selama hampir enam bulan,” katanya.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan peralatan kepada 46 penerima Bantuan 1Azam Parlimen Segamat di Balai Raya Taman Yayasan Segamat di sini, hari ini.