Kareena Kapoor Meriahkan Pembukaan Juiceco Malaysia

0
325

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Peminat….. Lebih kira-kira 1,000 peminat yang menunggu kedatangan bintang Bollywood, Kareena Kapoor, bersempena pembukaan Juiceco Malaysia di sini, malam tadi.

Aktres tersohor berkenaan diterbangkan ke ibu kota semata-mata bagi merasmikan pelancaran premis terbesar jus buah-buahan segar di negara ini.

Tiba di lokasi kira-kira jam 7.40 malam, kehadiran isteri kepada pelakon, Saif Ali Khan, itu meraih sorakan peminat yang rata-rata sabar menunggu kemunculan selebriti kesayangan mereka seawal jam 5 petang.

Kareena meluahkan rasa teruja dapat kembali ke negara ini buat kali ketiga, malah berharap sentiasa mendapat undangan untuk menjejakkan kaki ke Malaysia pada masa akan datang.

“Saya sayang Malaysia. Setiap kali datang ke sini, saya berasa seperti berada di rumah sendiri. Malah, dengan adanya Juiceco, peminat akan sentiasa merasai seperti saya berada di sini,” katanya.

Menggayakan gaun hitam dan keemasan yang menyerlahkan bahagian dadanya, pelakon Kabhi Khushi Kabhie Gham itu juga memperuntukkan masa merakamkan gambar bersama pemenang pertandingan Juiceco menerusi laman sosial.

Menyelak latar belakang anak pasangan selebriti popular, Randhir dan Babita Kapoor, popularitinya menyerlah menerusi kemunculan sulung di layar perak bersama filem Refugee pada 2000.

Selain naskhah romantis, pelakon yang turut dikenali sebagai penulis dan pereka fesyen itu juga membintangi aneka genre lain membabitkan filem berjudul Bodyguard, Ra One, Bajrangi Bhaijaan, Jab We Met dan 3 Idiots. – WD MY