PUTRAJAYA, 17 Nov – Jualan Mega…….. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Karnival Jualan Mega 2016 akan berlangsung di Dataran Angsana, Johor Bharu dari 23 hingga 27 Nov ini menyasarkan untuk menarik 300,000 pengunjung.
Beliau berkata Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
akan berkenan merasmikan karnival berkonsep pameran dan jualan itu yang
mengetengahkan pelbagai tarikan kepada pengunjung antaranya trak Mack milik
baginda.
Menurutnya karnival itu julung kali diadakan secara bersepadu melalui
gabungan beberapa program di bawah kementerian seperti Kempen Beli Barangan
Malaysia, Kempen Back to School, Program Citarasa Malaysia serta Sambutan Hari
Penjaja Kebangsaan, Hari Pengguna Kebangsaan dan Hari Francais Kebangsaan.
“Karnival jualan besar-besaran adalah pilihan kepada masyarakat untuk
berbelanja pada harga yang berpatutan di samping membantu pengeluar
mempromosikan produk dan perkhidmatan sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi
domestik,” katanya pada majlis pra-pelancaran karnival itu, di sini hari ini.
Tambahnya karnival itu adalah antara yang terbesar pernah diadakan di Johor
Bharu melibatkan tiga segmen utama iaitu karnival jualan, pameran dan tarikan
pengunjung.
Hamzah berkata segmen karnival jualan akan menghimpunkan lebih 500 booth
melibatkan 300 pempamer serta hampir 1,000 produk dan perkhidmatan dengan
pelbagai tawaran menarik dan diskaun sehingga 70 peratus.
Menurutnya terdapat 11 kluster produk dan perkhidmatan iaitu perabot dan
kelengkapan rumah; automotif; peralatan elektrik; pakaian dan kasut; makanan dan
minuman; buku, majalah dan penerbitan; hypermarket; gajet dan peralatan
teknologi maklumat; kesihatan dan kecantikan; pakej perkhidmatan; dan
produk-produk lain.
Beliau berkata segmen pameran pula melibatkan agensi kerajaan dan badan
bukan kerajaan (NGO), klinik francais dan forum kepenggunaan, latihan
perniagaan, pelancaran produk serta aktiviti padanan perniagaan.
Segmen tarikan pengunjung pula melibatkan himpunan 60 trak makanan, konsert
dan sesi bertemu peminat oleh artis-artis terkenal tanah air, sesi “pocket talk”
oleh usahawan berjaya, jualan “happy hour”, demonstrasi produk, kuiz santai,
permainan kanak-kanak serta cabutan bertuah.
Pameran dan jualan autoshow turut diadakan yang menghimpunkan lebih 20
jenama kenderaan dan motosikal antaranya Brabus dan Harley Davidson, katanya. – WD MY