NEW YORK, 13 FEB – KARTEL…. Ketua kartel paling terkenal di dunia, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang berjaya bangkit dari kemiskinan di luar bandar Mexico sehingga membina empayar dadah dunia dan mengumpul wang berbilion dolar didapati bersalah di mahkamah Amerika Syarikat (AS), semalam, atas tuduhan menjalankan perniagaan jenayah.

Juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn mula menyampaikan keputusan, selepas perbicaraan selama 11 minggu. Guzman, 61, kini berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Guzman adalah antara yang memainkan peranan penting dalam perang dadah Mexico sehingga menjejaskan negara itu sejak 2006.

Dia diekstradisi ke AS untuk perbicaraan pada 2017, selepas ditahan di Mexico, setahun sebelumnya.

Walaupun ada pemimpin kartel kanan itu sudah diekstradisi sebelum ini, Guzman adalah yang pertama didakwa di mahkamah dan tidak mengaku bersalah.

Perbicaraan itu membabitkan kenyataan daripada lebih 50 saksi, sekali gus memberikan gambaran luar jangkaan terhadap pergerakan dalaman kartel Sinaloa yang dinamakan sempena negeri di barat laut Mexico, iaitu tempat lahir Guzman.

Lagenda Guzman berkisar kepada dua kejayaan melarikan diri daripada penjara di Mexico dan imej ‘Robin Hood’ yang diamalkan beliau dikalangan golongan miskin di Sinaloa.

Pendakwa raya AS berkata, dia menyeludup bertan kokain, heroin, ganja dan syabu ke AS selama lebih dua dekad sambil mengukuhkan kuasa di Mexico menerusi pembunuhan serta memerangi kartel pesaing. – WD MY